1. Pemakaian
Polisi ini terpakai kepada semua ibu bapa dan penjaga yang mendaftarkan anak di mana-mana cawangan Pusat Didikan Al-Istiqamah — termasuk SRI Integrasi Al-Istiqamah, SRI Integrasi Al-Ihsan, Tadika Islam Al-Istiqamah (Istiqamah Kids) Ukay Perdana dan Taman Permata, serta Program Tiny Muslim — dan syarikat-syarikat dalam Kumpulan Istiqamah. Dengan menanda kotak persetujuan, anda mengesahkan anda telah membaca, memahami dan bersetuju dengan polisi ini.
2. Pengesahan tempat dan bayaran booking
Tempat anak hanya disahkan selepas bayaran booking tempat RM500 diterima. Bayaran booking ialah bayaran pendahuluan yuran pendaftaran; baki yuran pendaftaran diinvois selepas permohonan diluluskan. Jika membayar melalui pindahan bank, bukti bayaran perlu dimuat naik dalam masa 24 jam; jika tidak, permohonan dibatalkan dan tempat dibuka kepada orang lain.
Bayaran booking/pendaftaran tidak dikembalikan kerana ia digunakan terus untuk persediaan kemasukan setiap murid, termasuk kos pemfailan dan sistem pengurusan pelajar.
3. Harga promosi early bird
Harga promosi hanya untuk yang booking tempat sebelum tarikh tamat promosi yang dinyatakan (Sesi 2027: 12/12/2026). Bagi Istiqamah Kids (tadika), harga promosi terhad kepada 50 early bird pertama atau sehingga tarikh tamat, mana yang dahulu. Pendaftaran selepas itu dikenakan harga normal seperti dalam pecahan yuran. Harga promosi dikunci pada tarikh borang pendaftaran dihantar.
Semua pendaftaran pada harga promosi adalah muktamad. Pendaftaran pada harga promosi tidak dikenakan yuran bulan Disember dan deposit loker (SRI) atau tiada deposit yuran bulan Disember (tadika).
4. Yuran pendaftaran tahunan
Yuran pendaftaran tahunan merangkumi perkara seperti dalam pecahan yuran program yang dipilih, antaranya pendaftaran tahunan, bahan bantu mengajar, takaful, peperiksaan & buletin, uniform rasmi, jersi, buku teks, lawatan, Hari Amal Islami, temasya sukan tahunan dan Hari Ihtifal.
Yuran pendaftaran boleh dibayar secara penuh terus (WhatsApp kerani sekolah untuk temujanji di sekolah) atau secara ansuran (WhatsApp +6019-287 1036 untuk jadual bayaran ansuran).
5. Tiada bayaran balik dan deposit
Yuran yang telah dibayar tidak akan dikembalikan sekiranya murid berhenti sebelum tamat sesi, termasuk yuran aktiviti yang belum dilaksanakan (contoh: lawatan, Hari Ihtifal).
SRI: Yuran bulan Disember ialah yuran bulanan bagi bulan Disember yang dibayar awal semasa pendaftaran (bukan deposit) dan tidak dikembalikan. Satu-satunya deposit ialah deposit loker.
Program Tiny Muslim / KAFA Tiny Muslim: yuran pendaftaran RM960 termasuk yuran bulanan bagi bulan pertama. Yuran yang telah dibayar tidak dikembalikan kecuali deposit loker RM200. Deposit loker dipulangkan setelah tamat sesi persekolahan tahunan atau apabila murid berhenti, dengan syarat loker tidak rosak. Jika loker rosak, deposit digunakan untuk kos pembaikan dan baki (jika ada) dipulangkan.
6. Yuran bulanan dan kontrak 12 bulan
Yuran bulanan yang dinyatakan adalah berdasarkan kontrak 12 bulan bagi setiap sesi persekolahan, bukan 11 bulan. Sekiranya ibu bapa ingin melanggan untuk 11 bulan sahaja (tanpa bulan Disember), yuran bulanan dikenakan kenaikan 30% daripada yuran bulanan yang dinyatakan.
Invois yuran bulanan dihantar ke emel penjaga bermula 20hb setiap bulan dan perlu dibayar sebelum 7hb bulan berikutnya. Contohnya, invois bulan 3/2027 dikeluarkan pada 20/2/2027 dan perlu dibayar sebelum 7/3/2027.
7. Kaedah bayaran
Bayaran boleh dibuat dalam aplikasi ibu bapa atau pautan invois (FPX, DuitNow, e-dompet seperti Boost & Touch 'n Go), bank transfer / manual bank-in ke akaun rasmi sekolah dengan memuat naik bukti bayaran, terminal kad atau JomPAY (kad kredit & debit). Bayaran secara tunai tidak digalakkan. Resit rasmi dikeluarkan bagi setiap bayaran yang diterima.
8. Lewat bayar dan tunggakan
Sekiranya yuran bulanan tidak dilangsaikan selewat-lewatnya 7hb, anak tidak dibenarkan hadir ke sekolah sehingga semua tunggakan dilangsaikan. Peringatan dan surat amaran akan dihantar bagi yuran yang tertunggak.
9. Senarai hitam Kumpulan Istiqamah
Jika terdapat yuran yang masih tertunggak lebih daripada dua (2) bulan (60 hari selepas tarikh akhir invois), penjaga, berserta anak yang yurannya tertunggak, akan dimasukkan secara automatik ke dalam senarai hitam Kumpulan Istiqamah. Rekod ini dikeluarkan secara automatik apabila tunggakan dijelaskan sepenuhnya.
Senarai hitam tidak disebarkan kepada mana-mana pihak. Syarikat-syarikat dalam Kumpulan Istiqamah (termasuk syarikat yang turut dimiliki rakan kongsi perniagaan) boleh menyemak sama ada seseorang penjaga atau anak mempunyai rekod, dengan memasukkan maklumat yang diberikan semasa pendaftaran — termasuk jika anak didaftarkan oleh penjaga lain. Semakan hanya menunjukkan amaran bahawa rekod wujud; jumlah tertunggak dan butiran lain tidak didedahkan. Syarikat yang menyemak bebas membuat keputusan sendiri sama ada menerima pendaftaran. Setiap semakan direkodkan.
10. Waktu operasi dan caj lebih masa (OT)
SRI (Sesi Penuh): anak boleh dihantar seawal 7.00 pagi dan diambil selewat 7.00 petang tanpa sebarang caj OT. KAFA Pagi boleh hadir seawal 7.00 pagi; KAFA Petang paling lewat diambil pukul 7.00 petang. Caj OT RM42 sejam dikenakan jika anak dihantar lebih awal atau diambil lewat dari waktu yang ditetapkan.
Tadika (Istiqamah Kids): Sesi Penuh 7.00 pagi – 7.00 petang tanpa caj OT; Separuh Hari A 7.00 pagi – 12.30 tengah hari (OT dikira mulai 12.31 petang); Separuh Hari B 7.00 pagi – 2.00 petang (OT dikira mulai 2.01 petang). Caj OT RM30 sejam dikenakan jika anak dihantar lebih awal atau diambil lewat dari waktu yang ditetapkan.
11. Perkhidmatan van sekolah
Perkhidmatan van sekolah terdiri daripada van rasmi sekolah dan van rakan niaga. Setiap murid yang menggunakan perkhidmatan van diwajibkan mencarum takaful kemalangan yang disediakan oleh sekolah.
12. Kokurikulum dan PAJSK (SRI)
Darjah 1–3: penyertaan kelab dan badan beruniform adalah pilihan. Darjah 4–6: KPM mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelab dan satu badan beruniform untuk markah PAJSK. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak menyertai aktiviti kokurikulum yang diperlukan; pihak sekolah tidak bertanggungjawab atas markah PAJSK yang rendah akibat tidak menyertai aktiviti tersebut.
13. Perlindungan data peribadi (Akta Perlindungan Data Peribadi 2010)
Maklumat anak dan penjaga digunakan untuk pendaftaran, pengajaran, keselamatan, komunikasi, invois dan kutipan yuran, serta perkara di perenggan 9. Maklumat tidak dijual dan tidak diberikan kepada pihak lain kecuali seperti dinyatakan dalam polisi ini atau dikehendaki oleh undang-undang. Anda boleh meminta akses atau pembetulan maklumat melalui pejabat cawangan.
14. Komunikasi
Notis, invois, resit dan peringatan dihantar melalui aplikasi ibu bapa, emel, WhatsApp atau SMS ke maklumat perhubungan yang anda berikan. Anda bertanggungjawab memastikan maklumat perhubungan sentiasa terkini.
15. Pindaan polisi
Polisi ini boleh dipinda dari semasa ke semasa. Versi baharu dimaklumkan melalui aplikasi ibu bapa dan perlu dipersetujui untuk terus menggunakan perkhidmatan.